Saturday, November 17, 2012

LAWATAN KE PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA



Assalamualaikum dan salam sejatera kawan-kawan. Kali ini saya akan menceritakan pengalaman saya melawat ke Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Lawatan ini diadakan semperna kursus Psikologi Abnormal iaitu pada 17 Oktober 2011. Perasaan saya pada ketika itu sangat teruja untuk mengetahui bagaimana keadaan sebenar pesakit yang menghadapi masalah mental. Mengapa mereka boleh berkeadaan seperti itu? Apa yang menyebabkan mereka berlaku kecelaruan minda? Kenapa berlaku masalah kesihatan mental?

PANDANGAN  AWAL TERHADAP  ISU KESIHATAN MENTAL

Pandangan awal saya terhadap institusi kesihatan mental sebelum ini ialah setiap individu yang berurusan dengan hospital mental mengalami masalah atau gangguan jiwa atau lebih dikenali sebagai gila oleh masyarakat setempat. Masyarakat setempat begitu memandang serong atau memberi gambaran yang begitu negatif terhadap individu yang mengalami masalah kecelaruan jiwa. Gambaran tersebut turut mempengaruhi cara saya berfikiran dan memberikan satu stigma terhadap individu tersebut. Gangguan jiwa atau gila pada pemahaman saya ialah individu yang bertingkah laku diluar kebiasaan manusia biasa atau normal. Tambahan pula, terdapat sesetengah individu yang mengalami gangguan mental ini tidak mendapat penjagaan atau pengawasan yang rapi daripada keluarga mereka. Mungkin mereka disisishkan oleh keluarga kerana berasa malu mempunyai ahli keluarga yang mengalami masalah mental. Keadaan ini dapat dilihat sama ada di kawasan bandar, pekan mahu pun kampung. Contohnya pesakit mental ini akan merayau-rayau di jalan dan tidur di merata tempat dengan keadaan yang kotor serta baju yang compang-camping.
           
Sebelum ini juga saya berpandangan semua individu yang mengalami gangguan mental ini tidak akan sembuh. Hal ini demikian kerana kebanyakan individu yang keluar daripada hospital kesihatan mental hanya akan berkeadaan waras dalam tempoh beberapa bulan atau beberapa tahun yang awal. Individu ini juga hanya mampu bertahan terhadap pengambilan ubat yang diberikan oleh pihak hospital. Saya juga beranggapan bahawa peringkat umur yang mengalami masalah kecelaruan jiwa ini lebih terdedah kepada golongan dewasa dan tidak mungkin berlaku pada peringkat kanak-kanak.

PENGETAHUAN DAN PENGALAMAN BARU YANG DIPEROLEH SELEPAS LAWATAN

Selepas mengikuti lawatan ke institusi kesihatan mental Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia banyak pengalaman baru yang saya peroleh dan dapat menukarkan cara tanggapan yang lebih positif terhadap institusi kesihatan mental serta kepada pesakit-pesakit mental itu sendiri. Melalui lawatan tersebut saya lebih mengenali serta mengetahui cara-cara untuk menghadapi pesakit serta langkah-langkah untuk membantu pesakit untuk mendapatkan rawatan supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih sempurna dan normal seperti individu yang lain tanpa mendapat sebarang persepsi yang negatif daripada masyarakat.

Tidak semua individu yang terlibat dengan institusi kesihatan mental merupakan orang gila atau kurang siuman. Terdapat pelbagai jenis kecelarauan jiwa yang boleh dirawat di institusi kesihatan mental seperti depressi, tekanan, kebimbingan yang melampau dan lain-lain. Terdapat juga individu yang nampak dari segi luaran sebagai seorang yang normal tetapi sebenarnya individu tersebut mengalami gangguan mental yang tidak diketahui oleh individu itu sendiri. Hal ini demikian kerana keadaan pada masa sekarang setiap individu begitu sibuk dengan dunia pekerjaan sehingga tidak sempat untuk beriadah dan bergaul mesra dengan rakan-rakan serta ahli keluarga. Tekanan ditempat kerja menyebabkan individu semakin tertekan kerana tidak dapat meluahkan perasaan tersebut kepada individu lain yang boleh dijadikan sebagai pendengar bagi meredakan permasalahan yang dihadapi.

Kecelaruan jiwa juga turut terjadi pada golongan kanak-kanak dan remaja. Sebelum ini saya beranggapan orang yang mengalami kecelaruan hanya dihadapi oleh golongan dewasa ternyata tidak tepat sama sekali. Golongan kanak-kanak dan remaja turut mengalami kecelaruan jiwa. Kecelaruan yang mereka alami akan menganggu kehidupan mereka pada masa akan datang jika tidak dirawat dan tidak memberikan bimbingan yang betul. Masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak dan remaja seperti autism, ADHD, kebimbingan, penderaan dan lain-lain.

Bagi golongan dewasa golongan wanita yang banyak mengalami masalah jiwa berbanding golongan lelaki. Hal ini demikian kerana keadaan wanita itu sendiri yang lebih kepada perasaan dan emosi. Namun cara bagaimana mereka menghadapi permasalahan tersebut dengan cara yang salah yang menyebabkan berlakunya kecelaruan dalam hidup mereka.

Golongan yang menghadapi masalah kecelaruan jiwa ini sangat malu untuk mendapatkan rawatan di hospital. Seboleh-bolehnya mereka mahu merahsiakan penyakit jiwa yang mereka yang hadapi daripada pengetauan orang ramai. Ini disebabkan tanggapan masyarakat yang negatif telah menyebabkan semakin ramai masyarakat mengalami gangguan mental dan tidak mendapatkan rawatan yang terbaik untuk mengubatinya. Oleh itu bagi menarik individu yang mengalami kecelaruan jiwa ini untuk mendapatkan rawatan perubatan pihak PPUKM telah membuat pemeriksaan atau rawatan secara klinik terbuka (open clinic). Pesakit akan datang ke klinik berdasarkan tarikh yang telah dipersetujui oleh pihak doktor bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

Seluruh ahli keluarga juga perlu diberi bimbingan dan kaunseling agar dapat menerima pesakit dengan keadaan seadanya. Hal ini demikian kerana ahli keluarga dapat menyokong pesakit supaya lebih cepat sembuh dan pesakit akan berasa diri mereka disayangi serta mendapat perhatian daripada orang tersayang. Stigma yang dipupuk oleh masyarakat terhadap pesakit mental atau kecelaraun mental menyebabkan mereka bersa malu dan rendah diri untuk berhadapan dengan orang ramai.

Pesakit mental juga seperti pesakit jantung, kencing manis, darah tinggi yang berpeluang untuk sembuh. Pesakit memerlukan rawatan yang berterusan serta semangat yang kuat untuk menghadapi permasalahan yang berlaku. Pesakit juga perlu mengambil ubat-ubatan secara berterusan bagi membantu mereka untuk kembali kepada keadaan normal seperti biasa. Dorongan dan sokongan yang berterusan daripada ahli keluarga serta insan tersayang juga akan memupuk semangat yang baru dalam diri pesakit untuk meneruskan rawatan dan untuk sihat seperti sediakala.


PENGETAHUAN DAN PEMAHAMAN TERHADAP ISU KESIHATAN MENTAL DAPAT MEMBANTU DIRI SENDIRI, INDIVIDU SEKELILING DAN PROFESION KAUNSELOR YANG BAKAL DICEBURI KELAK.

Selepas mengikuti lawatan ke institusi kesihatan mental saya lebih memahami bagaimana cara untuk berhadapan serta mengetahui ciri-ciri yang ditunjukkan oleh penghidap pesakit mental. Pengalaman yang diperoleh juga berjaya memecahkan stigma dalam diri saya mengenai pandangan sebelum ini terhadap orang kurang siuman atau gila ini. Saya perlulah bijak untuk mengawal emosi apabila menghadapi sesuatu masalah agar tidak menjadi lekatan dalam diri sendiri dan boleh berfikiran secara positif. Masa rehat beriadah juga penting untuk diri sendiri agar tidak tertekan dengan permasalah yang dihadapi.  Sekiranya menghadapi masalah atau tertekan dengan sesuatu perkara saya hendak meluahkan permasalahan tersebut agar tidak berterus-terusan menganggu minda saya. Kepercayaan terhadap orang lain seperti rakan baik, kaunselor juga penting dalam membantu kita menyelesaikan masalah yang dihadapi.  Namun sekiranya kita tidak mempercayai insan lain bagi mendengar atau berkongsi masalah yang dihadapi lebih baik masalah itu diluahkan kepada yang lebih berkuasa iaitu Allah s.w.t. Saya juga dapat membezakan antara maksud psikologi abnormal dan penyakit mental. Psikologi abnormal merupakan salah satu cabang psikologi yang mengkaji bentuk gangguan mental dan jiwa. Manakala penyakit mental pula ialah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Individu sekeliling perlulah diberikan pengetahuan serta maklumat mengenai pesakit atau keadaan sebenar pesakit mental agar dapat mengubah persepsi mereka terhadap pesakit mental. Stigma yang kuat terhadap pesakit mental menyebabkan mereka berasa merendah diri serta tidak berkeupayaan dalam institusi bermasyarakat. Individu sekeliling perlulah lebih berfikiran positif terhadap pesakit agar dapat hidup secara bermasyarakat agar dapat membantu memecahkan stigma yang diberikan. Pihak-pihak hospital mahu pun kaunselor perlulah lebih peka terhadap keadaan sekeliling dengan menyampaikan setiap matlumat kepada ahli keluarga serta masyarakat melalui pameran-pameran kesihatan atau kaunselor menyampaikan matlumat di sekolah untuk pelajar-pelajar agar lebih memahami keadaan sebenar pesakit mental.

Sebagai profesion kaunselor matlumat yang saya perolehi ini dapat membantu saya untuk lebih mengenal diri seseorang individu sama ada berkeadaan normal atau sebaliknya. Saya juga perlulah lebih peka dan menarik minat pelajar-pelajar untuk berkongsi masalah yang dihadapi. Tekanan yang dihadapi oleh pelajar juga mendorong mereka berkeadaan tidak normal dari segi pemikiran. Tambahan pula, cabaran untuk mendapat pesakit mental atau berlaku kecelaruan jiwa semakin bertambah tahun demi tahun akan datang. Kaunselor juga perlulah berbaik-baik dengan pihak hospital dan ahli keluarga pesakit agar memudahkan kaunselor untuk membantu pesakit agar tidak menjadi lebih serius sehingga boleh berlaku sebarang kemungkinan yang buruk. Pengalaman ini juga membantu saya untuk mengesan sama ada pelajar mengalami masalah psikologi atau masalah mental yang perlu dirujuk kepada pihak yang lebih pakar.

Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya begitu juga dengan pesakit yang mengalami kecelaruan jiwa. Pesakit mental berpeluang untuk sembuh dan menjalani aktiviti harian seperti biasa. Kaunselor perlu lebih peka untuk mengesan masalah kecelaruan yang dihadapi oleh pesakit agar memudahkan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya agar keadaan tidak menjadi lebih teruk. Persepsi negatif daripada masyarakat juga perlulah diubah agar pesakit-pesakit mental tidak berasa disisihkan oleh masyarakat dan dapat memberikan mereka peluang untuk hidup kembali normal seperti sediakala. Bantuan daripada insan tersayang seperti ahli keluarga membantu pesakit lebih bersemangat untuk sembuh dan mendapatkan rawatan lanjutan dari hospital. Lawatan sambil belajar ini banyak memberikan pendedahan baru  serta mengubah cara pemikiran ke arah yang lebih positif terhadap  institusi kesihatan mental, pesakit serta penghuninya sendiri.




Inilah pensyarah saya. Cik Amelia. Macam adik dengan kakakkan? :)


Inilah kawan baik saya nama dia Shafina





dah macam pekerja PPUKM plak...
hehehe


kawan-kawan sekelas saya 


posing dulu sebelum balik UPSI :)

No comments:

Post a Comment