![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh1DCLa03cWiuXKvr2Zf3JNIHxBqCTmYFSDRkReRTQNZPmM_bOG0xglacyUl81DppFNnRNz1ro4r9uOdfOm1ZbxiFNUnXcavxL5sYbldvJIZY2mLcI_81lWlqXXSt3rKfasIqrgPtF9dGY/s320/309569_252129994839226_100001266835901_861632_976449075_n.jpg)
Assalamualaikum dan salam sejatera kawan-kawan. Kali ini saya akan
menceritakan pengalaman saya melawat ke Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia. Lawatan ini diadakan semperna kursus Psikologi
Abnormal iaitu pada 17 Oktober 2011. Perasaan saya pada ketika itu sangat
teruja untuk mengetahui bagaimana keadaan sebenar pesakit yang menghadapi
masalah mental. Mengapa mereka boleh berkeadaan seperti itu? Apa yang
menyebabkan mereka berlaku kecelaruan minda? Kenapa berlaku masalah kesihatan
mental?
PANDANGAN
AWAL TERHADAP ISU KESIHATAN MENTAL
Pandangan
awal saya terhadap institusi kesihatan mental sebelum ini ialah setiap individu
yang berurusan dengan hospital mental mengalami masalah atau gangguan jiwa atau
lebih dikenali sebagai gila oleh masyarakat setempat. Masyarakat setempat
begitu memandang serong atau memberi gambaran yang begitu negatif terhadap
individu yang mengalami masalah kecelaruan jiwa. Gambaran tersebut turut
mempengaruhi cara saya berfikiran dan memberikan satu stigma terhadap individu
tersebut. Gangguan jiwa atau gila pada pemahaman saya ialah individu yang
bertingkah laku diluar kebiasaan manusia biasa atau normal. Tambahan pula,
terdapat sesetengah individu yang mengalami gangguan mental ini tidak mendapat
penjagaan atau pengawasan yang rapi daripada keluarga mereka. Mungkin mereka
disisishkan oleh keluarga kerana berasa malu mempunyai ahli keluarga yang
mengalami masalah mental. Keadaan ini dapat dilihat sama ada di kawasan bandar,
pekan mahu pun kampung. Contohnya pesakit mental ini akan merayau-rayau di
jalan dan tidur di merata tempat dengan keadaan yang kotor serta baju yang
compang-camping.
Sebelum
ini juga saya berpandangan semua individu yang mengalami gangguan mental ini
tidak akan sembuh. Hal ini demikian kerana kebanyakan individu yang keluar
daripada hospital kesihatan mental hanya akan berkeadaan waras dalam tempoh
beberapa bulan atau beberapa tahun yang awal. Individu ini juga hanya mampu
bertahan terhadap pengambilan ubat yang diberikan oleh pihak hospital. Saya
juga beranggapan bahawa peringkat umur yang mengalami masalah kecelaruan jiwa
ini lebih terdedah kepada golongan dewasa dan tidak mungkin berlaku pada
peringkat kanak-kanak.
PENGETAHUAN DAN PENGALAMAN BARU YANG DIPEROLEH SELEPAS
LAWATAN
Selepas mengikuti lawatan ke institusi kesihatan
mental Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia banyak pengalaman baru
yang saya peroleh dan dapat menukarkan cara tanggapan yang lebih positif
terhadap institusi kesihatan mental serta kepada pesakit-pesakit mental itu
sendiri. Melalui lawatan tersebut saya lebih mengenali serta mengetahui
cara-cara untuk menghadapi pesakit serta langkah-langkah untuk membantu pesakit
untuk mendapatkan rawatan supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih
sempurna dan normal seperti individu yang lain tanpa mendapat sebarang persepsi
yang negatif daripada masyarakat.
Tidak semua individu yang terlibat dengan institusi
kesihatan mental merupakan orang gila atau kurang siuman. Terdapat pelbagai
jenis kecelarauan jiwa yang boleh dirawat di institusi kesihatan mental seperti
depressi, tekanan, kebimbingan yang melampau dan lain-lain. Terdapat juga
individu yang nampak dari segi luaran sebagai seorang yang normal tetapi
sebenarnya individu tersebut mengalami gangguan mental yang tidak diketahui
oleh individu itu sendiri. Hal ini demikian kerana keadaan pada masa sekarang
setiap individu begitu sibuk dengan dunia pekerjaan sehingga tidak sempat untuk
beriadah dan bergaul mesra dengan rakan-rakan serta ahli keluarga. Tekanan
ditempat kerja menyebabkan individu semakin tertekan kerana tidak dapat
meluahkan perasaan tersebut kepada individu lain yang boleh dijadikan sebagai
pendengar bagi meredakan permasalahan yang dihadapi.
Kecelaruan jiwa juga turut terjadi pada golongan
kanak-kanak dan remaja. Sebelum ini saya beranggapan orang yang mengalami
kecelaruan hanya dihadapi oleh golongan dewasa ternyata tidak tepat sama
sekali. Golongan kanak-kanak dan remaja turut mengalami kecelaruan jiwa.
Kecelaruan yang mereka alami akan menganggu kehidupan mereka pada masa akan
datang jika tidak dirawat dan tidak memberikan bimbingan yang betul. Masalah
yang dihadapi oleh kanak-kanak dan remaja seperti autism, ADHD, kebimbingan,
penderaan dan lain-lain.
Bagi golongan dewasa golongan wanita yang banyak
mengalami masalah jiwa berbanding golongan lelaki. Hal ini demikian kerana
keadaan wanita itu sendiri yang lebih kepada perasaan dan emosi. Namun cara bagaimana
mereka menghadapi permasalahan tersebut dengan cara yang salah yang menyebabkan
berlakunya kecelaruan dalam hidup mereka.
Golongan yang menghadapi masalah kecelaruan jiwa ini
sangat malu untuk mendapatkan rawatan di hospital. Seboleh-bolehnya mereka mahu
merahsiakan penyakit jiwa yang mereka yang hadapi daripada pengetauan orang
ramai. Ini disebabkan tanggapan masyarakat yang negatif telah menyebabkan
semakin ramai masyarakat mengalami gangguan mental dan tidak mendapatkan
rawatan yang terbaik untuk mengubatinya. Oleh itu bagi menarik individu yang
mengalami kecelaruan jiwa ini untuk mendapatkan rawatan perubatan pihak PPUKM
telah membuat pemeriksaan atau rawatan secara klinik terbuka (open clinic).
Pesakit akan datang ke klinik berdasarkan tarikh yang telah dipersetujui oleh
pihak doktor bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
Seluruh ahli keluarga juga perlu diberi bimbingan dan
kaunseling agar dapat menerima pesakit dengan keadaan seadanya. Hal ini
demikian kerana ahli keluarga dapat menyokong pesakit supaya lebih cepat sembuh
dan pesakit akan berasa diri mereka disayangi serta mendapat perhatian daripada
orang tersayang. Stigma yang dipupuk oleh masyarakat terhadap pesakit mental
atau kecelaraun mental menyebabkan mereka bersa malu dan rendah diri untuk
berhadapan dengan orang ramai.
Pesakit mental juga seperti pesakit jantung, kencing
manis, darah tinggi yang berpeluang untuk sembuh. Pesakit memerlukan rawatan
yang berterusan serta semangat yang kuat untuk menghadapi permasalahan yang
berlaku. Pesakit juga perlu mengambil ubat-ubatan secara berterusan bagi
membantu mereka untuk kembali kepada keadaan normal seperti biasa. Dorongan dan
sokongan yang berterusan daripada ahli keluarga serta insan tersayang juga akan
memupuk semangat yang baru dalam diri pesakit untuk meneruskan rawatan dan
untuk sihat seperti sediakala.
PENGETAHUAN
DAN PEMAHAMAN TERHADAP ISU KESIHATAN MENTAL DAPAT MEMBANTU DIRI SENDIRI,
INDIVIDU SEKELILING DAN PROFESION KAUNSELOR YANG BAKAL DICEBURI KELAK.
Selepas
mengikuti lawatan ke institusi kesihatan mental saya lebih memahami bagaimana
cara untuk berhadapan serta mengetahui ciri-ciri yang ditunjukkan oleh
penghidap pesakit mental. Pengalaman yang diperoleh juga berjaya memecahkan
stigma dalam diri saya mengenai pandangan sebelum ini terhadap orang kurang
siuman atau gila ini. Saya perlulah bijak untuk mengawal emosi apabila
menghadapi sesuatu masalah agar tidak menjadi lekatan dalam diri sendiri dan
boleh berfikiran secara positif. Masa rehat beriadah juga penting untuk diri
sendiri agar tidak tertekan dengan permasalah yang dihadapi. Sekiranya menghadapi masalah atau tertekan
dengan sesuatu perkara saya hendak meluahkan permasalahan tersebut agar tidak
berterus-terusan menganggu minda saya. Kepercayaan terhadap orang lain seperti
rakan baik, kaunselor juga penting dalam membantu kita menyelesaikan masalah
yang dihadapi. Namun sekiranya kita
tidak mempercayai insan lain bagi mendengar atau berkongsi masalah yang
dihadapi lebih baik masalah itu diluahkan kepada yang lebih berkuasa iaitu
Allah s.w.t. Saya juga dapat membezakan antara maksud psikologi abnormal dan
penyakit mental. Psikologi abnormal merupakan salah satu cabang psikologi yang
mengkaji bentuk gangguan mental dan jiwa. Manakala penyakit mental pula ialah
penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan
perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang
mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.
Individu
sekeliling perlulah diberikan pengetahuan serta maklumat mengenai pesakit atau
keadaan sebenar pesakit mental agar dapat mengubah persepsi mereka terhadap
pesakit mental. Stigma yang kuat terhadap pesakit mental menyebabkan mereka
berasa merendah diri serta tidak berkeupayaan dalam institusi bermasyarakat.
Individu sekeliling perlulah lebih berfikiran positif terhadap pesakit agar
dapat hidup secara bermasyarakat agar dapat membantu memecahkan stigma yang
diberikan. Pihak-pihak hospital mahu pun kaunselor perlulah lebih peka terhadap
keadaan sekeliling dengan menyampaikan setiap matlumat kepada ahli keluarga
serta masyarakat melalui pameran-pameran kesihatan atau kaunselor menyampaikan
matlumat di sekolah untuk pelajar-pelajar agar lebih memahami keadaan sebenar
pesakit mental.
Sebagai profesion kaunselor matlumat yang saya perolehi ini dapat membantu saya untuk lebih mengenal diri seseorang individu sama ada berkeadaan normal atau sebaliknya. Saya juga perlulah lebih peka dan menarik minat pelajar-pelajar untuk berkongsi masalah yang dihadapi. Tekanan yang dihadapi oleh pelajar juga mendorong mereka berkeadaan tidak normal dari segi pemikiran. Tambahan pula, cabaran untuk mendapat pesakit mental atau berlaku kecelaruan jiwa semakin bertambah tahun demi tahun akan datang. Kaunselor juga perlulah berbaik-baik dengan pihak hospital dan ahli keluarga pesakit agar memudahkan kaunselor untuk membantu pesakit agar tidak menjadi lebih serius sehingga boleh berlaku sebarang kemungkinan yang buruk. Pengalaman ini juga membantu saya untuk mengesan sama ada pelajar mengalami masalah psikologi atau masalah mental yang perlu dirujuk kepada pihak yang lebih pakar.
Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya begitu juga
dengan pesakit yang mengalami kecelaruan jiwa. Pesakit mental berpeluang untuk
sembuh dan menjalani aktiviti harian seperti biasa. Kaunselor perlu lebih peka
untuk mengesan masalah kecelaruan yang dihadapi oleh pesakit agar memudahkan
untuk mendapatkan rawatan selanjutnya agar keadaan tidak menjadi lebih teruk.
Persepsi negatif daripada masyarakat juga perlulah diubah agar pesakit-pesakit
mental tidak berasa disisihkan oleh masyarakat dan dapat memberikan mereka
peluang untuk hidup kembali normal seperti sediakala. Bantuan daripada insan
tersayang seperti ahli keluarga membantu pesakit lebih bersemangat untuk sembuh
dan mendapatkan rawatan lanjutan dari hospital. Lawatan sambil belajar ini
banyak memberikan pendedahan baru serta
mengubah cara pemikiran ke arah yang lebih positif terhadap institusi kesihatan mental, pesakit serta
penghuninya sendiri.
Inilah pensyarah saya. Cik Amelia. Macam adik dengan kakakkan? :)
Inilah kawan baik saya nama dia Shafina
dah macam pekerja PPUKM plak...
hehehe
kawan-kawan sekelas saya
posing dulu sebelum balik UPSI :)
No comments:
Post a Comment